" Semakin Dekat Bahtera Kita KepadaNya,
Semakin Kencang Taufan Yang Melanda "


zainal hisham
(md.usm)

Friday, July 10, 2009

Ramai terseleweng daripada matlamat asal yang murni kerana nafsu

(part 2)

"Sesungguhnya kamu sudah mendapat isi sedangkan mereka hanya mendapat kulit. Demi Allah, seandainya aku akan melalui satu jalan, aku akan lalui jalan yang kamu lalui. Mudah-mudahan Allah mengampuni dan merahmati kamu orang Ansar berserta anak cucu kamu sekalian. Lalu orang Ansar bertangisan kerana sedar nilaian harta dunia yang amat sedikit berbanding diri Rasulullah SAW, sambil mereka berkata: "Kami rela Allah sebagai Tuhan kami dan Muhammad nabi kami." � (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Perpecahan yang timbul dalam jiwa umat Islam sejak dulu hingga kini berpunca daripada perebutan kedudukan, harta dunia dan penyakit hati. Kejahatan itu muncul daripada barisan orang yang lemah imannya dan amat cintakan harta dunia.

Tidak kira siapa mereka dan apakah kedudukannya, pengikut atau pemimpin, mereka semua sama-sama terdedah kepada fitnah yang boleh menjejaskan keikhlasan perjuangan yang mesti dituluskan semata-mata untuk mencari keredaan Allah SWT dan Rasul-Nya.

Begitu pula halnya kepada orang ikhlas menceburkan diri ke medan politik yang amat mencabar. Mereka sentiasa diuji dengan perebutan dan persengketaan, penyakit dunia dan kesumat hati yang tercemar.
Adakalanya ujian itu terlalu hebat hingga mengikis sedikit demi sedikit tembok keimanan, ramai yang gugur dan terseleweng daripada matlamat asal yang murni kerana keadaan zaman berubah dan tuntutan nafsu sentiasa membara.

Hakikat itu menunjukkan keperluan untuk sentiasa mengingatkan diri dan pengikut kembali ke jalan al-Quran dan al-Sunnah ketika terjadinya fitnah. Firman Allah yang bermaksud: "Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dulu (masa Jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang yang bersaudara; dan kamu sudah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-Nya kepadamu, supaya kamu mendapat petunjuk." (Surah Ali-Imran, ayat 103)

Apabila timbul benih perpecahan disebabkan matlamat dan pendekatan berbeza dalam berpolitik, maka ruang untuk menyatukan pandangan demi kemaslahatan umat yang lebih luas daripada kepentingan segelintir elit politik yang dibela hendaklah dibuka seluas-luasnya.

Atau, tegakkanlah keinsafan dalam hati mengenai kesucian matlamat akhirat di atas kepentingan duniawi. Apakah membela kepentingan Allah SWT dan Rasul serta umat Islam seluruhnya lebih utama atau keuntungan bagi diri sendiri dan pengikut yang diutama?

Sesungguhnya punca terjerumus hamba Allah SWT ke lubuk neraka di akhirat nanti adalah kerana masalah keikhlasan dalam setiap perjuangan mereka di dunia. Rasul-Nya SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang pertama kali disoal pada hari kiamat ialah seorang yang mati syahid, dia akan dihadapkan kepada Allah, maka Allah memperlihatkan kenikmatan-Nya dan dia pun mengenal kenikmatan itu. Allah bertanya: Kerana apa engkau berbuat demikian?

Dia menjawab: Aku berperang kerana Engkau hingga aku mati syahid. Allah berfirman: Kamu dusta! Kamu berperang kerana ingin disebut sebagai pahlawan, maka Allah memerintahkan malaikat untuk mengheret dan memasukkan orang itu ke dalam neraka. Selepas itu orang yang mempelajari agama dan mengajarkan al-Quran dihadapkan kepada Allah, maka Allah memperlihatkan kenikmatan-Nya dan dia pun mengenal kenikmatan itu. Allah bertanya: Kerana apa engkau berbuat demikian?

Dia menjawab: Aku belajar dan mengajar ilmu serta membaca al-Quran kerana Engkau. Allah berfirman: Kamu dusta, kamu belajar dan mengajar kerana mahu disebut sebagai ulama dan membaca al-Quran kerana mahu disebut sebagai qari, maka Allah memerintahkan malaikat mengheret orang itu ke neraka. Yang terakhir orang yang kaya dihadapkan kepada Allah dan Allah memperlihatkan kenikmatan-Nya dan dia pun mengenal kenikmatan itu. Kemudian Alah bertanya: Kerana apa engkau berbuat begitu?

Dia menjawab: Aku tidak meninggalkan satu jalan pun melainkan aku berbelanja di jalan-Mu. Allah berfirman: Kamu berdusta! Kamu berbuat itu kerana ingin disebut sebagai dermawan, maka Allah memerintahkan malaikat untuk mengheret orang ini ke dalam neraka." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Bersambung...

No comments:

" Semakin Dekat Bahtera Kita KepadaNya,
Semakin Kencang Taufan Yang Melanda "
- j_nal07@yahoo.com -
- z.hisham90@gmail.com -



zainal
(md.usm)